global

36,749 panahan petir dalam 13 jam

Oleh Agensi

NEGERI Andhra Pradesh di selatan India merekodkan 36,749 panahan petir hanya dalam tempoh 13 jam Selasa lalu.

BBC yang memetik kenyataan pihak berkuasa pengurusan bencana negeri melaporkan, jumlah itu dianggap luar biasa dan berpunca dari keadaan ekstrim cuaca.

Sembilan orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun turut dilaporkan terbunuh dipanah petir sejak Selasa lalu.

Panahan petir sering berlaku di India ketika hujan lebat pada musim monsun.

Pengurus pusat operasi kecemasan, Kishan Sanku memberitahu BBC, musim monsun lazimnya bermula pada Jun dan berakhir pada September, namun rantau ini sering mencatatkan peningkatan jumlah panahan petir sebelum musim berkenaan bermula.

Jumlah panahan petir pada Selasa lalu dianggap sebagai tidak normal kerana rantau itu menurut data tahun lalu, mencatatkan kira-kira 30,000 panahan petir untuk keseluruhan bulan Mei.

Segelintir ahli sains percaya pemanasan global ialah faktor yang meningkatkan jumlah panahan petir.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 12:42am
d