global

Tragedi pergi sekolah

Oleh Agensi

Mumbai: Sekurang-kurangnya 13 murid sekolah maut, manakala lapan lagi cedera selepas van sekolah yang dinaiki bertembung dengan kereta api ketika melintasi landasan di Kushinagar, Uttar Pradesh, pagi semalam.

Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi ketika van yang membawa lebih 20 kanak-kanak itu dalam perjalanan ke sekolah.

Times of India melaporkan, mangsa yang maut termasuk pemandu van berkenaan yang mati serta-merta di tempat kejadian.

Terdapat laporan yang tidak disahkan bahawa pemandu itu sedang mendengar lagu dengan menggunakan fon telinga sebelum dirempuh kereta api terbabit.

“Sekitar jam 7.30 pagi, van yang membawa murid sekolah itu dari Sivan ke Gorakhpur bertembung dengan kereta api penumpang di lintasan kereta api yang tidak dikawal.

“Penjaga pagar cuba menghentikan pemandu van tetapi dia tidak berhenti. Namun, kenderaan itu tiba-tiba berhenti di atas landasan sebelum dirempuh menyebabkan semua kanak-kanak mati di tempat kejadian,” kata jurucakap kereta api, Sanjay Yadav.

Kemalangan itu turut mendapat perhatian Ketua Menteri Uttar Pradesh, Adityanath yang mengarahkan bantuan segera diberikan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Dia turut mengarahkan Pesuruhjaya Gorakhpur menjalankan siasatan berhubung tragedi berkenaan.

Manakala Reuters melaporkan, ia adalah kemalangan kedua terbesar membabitkan murid sekolah dalam tempoh dua minggu.

Pada 9 April lalu, sekurang-kurangnya 24 kanak-kanak dan tiga orang dewasa terbunuh apabila sebuah bas sekolah terjunam ke dalam gaung di utara negeri Himachal Pradesh, India.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 1:11am
d