global

Tak rela lihat generasi 'kurang upaya'

Oleh AFP

RAMALLAH: Presiden Mahmud Abbas menggesa warga Palestin menjauhkan anak mereka daripada menyertai bantahan di sepanjang sempadan di antara Israel dan Gaza.

Pemimpin negara itu memberi amaran bahawa beliau tidak mahu melihat satu generasi ‘kurang upaya’ wujud di negara itu.

“Pastikan anak muda kita tidak berada di sempadan. Pindahkan kanak-kanak jauh daripada kawasan yang sedang bergolak.

“Kita tidak mahu melihat rakyat negara kita menjadi golongan kurang upaya,” katanya dalam satu ucapan di Tebing Barat di Ramallah.

Mahmud bagaimanapun menyokong penunjuk perasaan yang disifatkan beliau sebagai bantahan secara aman.

Setakat ini 48 warga Palestin terkorban manakala beratus lagi cedera akibat serangan dan bedilan Israel sejak bantahan secara kerap dan pertempuran tercetus di sempadan Gaza sejak 30 Mac lalu.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 3:39am
d