global

Dituduh rampas isteri orang

Seoul: Bekas Canselor Jerman, Gerhard Schroeder, disaman bekas suami tunangnya yang berasal dari Korea Selatan kerana didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan wanita itu ketika mereka masih bergelar suami isteri.

Januari lalu, bekas pemimpin Jerman berusia 74 tahun itu, mengumumkan akan mengahwini Kim So-yeon, penterjemah yang 26 tahun lebih muda daripadanya, selepas perkahwinan keempatnya gagal.

Kehidupan peribadi Schroeder dan empat perkahwinan sebelum ini menyebabkan dia digelar ‘Audi man’, merujuk kepada simbol empat gelang kereta buatan Jerman itu.

So-yeon dan suaminya bercerai pada November lalu.

Masyarakat Korea Selatan menganggap hubungan luar nikah adalah satu jenayah, dengan beberapa pesalah, pasangan yang curang dan kekasih masing-masing dikenakan hukuman penjara.

Dalam pada itu, isteri keempat Schroeder, Doris Schroeder Kopf, ketika dalam proses perceraian mereka September lalu, mendakwa So-yeon ada peranan dalam perpisahan mereka.

“Kedua-duanya mula bercinta ketika masing-masing masih berkahwin,” kata bekas suami So-yeon yang dipetik agensi berita Yonhap.

Lelaki itu yang tidak didedahkan namanya dilaporkan menyaman Schroeder sebanyak 100 juta won (RM368,000) sebagai ganti rugi kerana mengalami tekanan mental teruk.

Yonhap melaporkan bahawa saman difailkan di Mahkamah Keluarga Seoul. - AFP

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 4:37am
d