global

John Kelly nafi panggil Trump bodoh

Oleh AFP

KETUA Kakitangan Rumah Putih, John Kelly bertegas menafikan laporan beliau memanggil Presiden Donald Trump ‘bodoh’ di hadapan kakitangan lain, petunjuk terbaharu wujudnya ketegangan dalaman pentadbiran itu.

NBC News ketika memetik pegawai dan bekas pegawai Rumah Putih berkata, Kelly, seorang Jeneral Marin bersara dan berkhidmat sebagai setiausaha keselamatan dalam negeri sebelum beralih ke West Wing pernah beberapa kali memanggil Trump ‘bodoh’.

Menurut empat daripada pegawai itu, mereka secara peribadi mendengar penghinaan Kelly yang menggambarkan dirinya sebagai satu-satunya pegawai di dalam pentadbiran Trump yang berusaha ‘membendung perlakuan tidak menentu’ presiden Republikan itu, lapor NBC.

Namun Kelly dengan tegas menafikan laporan itu, menyifatkannya sebagai mengarut.

“Saya komited kepada presiden, agendanya dan negara kita. Ini adalah satu lagi usaha menyedihkan untuk mencemarkan nama baik seorang yang rapat dengan Presiden Trump dan mengalihkan perhatian dari pelbagai kejayaan pentadbirannya,” kata Kelly.

Oktober lalu, NBC melaporkan bekas setiausaha negara, Rex Tillerson yang dipecat Trump Mac lalu, memanggil presiden itu ‘dungu’ di hadapan rakan sekerja.

Selepas ‘Fire and Fury: Inside the Trump White House, buku mengenai pertelingkahan di dalam pentadbiran dilancarkan, Tillerson mempertahankan kecergasan mental Trump.

“Saya tidak pernah mempersoalkan kecergasan mentalnya. Saya tiada sebab untuk mempersoalkan kecergasan mentalnya,” kata Tillerson kepada CNN.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 2:06pm
d