global

Kerajaan India dikecam gagal lindungi Taj Mahal

MAHKAMAH tertinggi India hari ini mengecam hebat kerajaan negara itu kerana gagal melindungi monumen cinta agung terkenal dunia, Taj Mahal yang kini berwarna kekuningan akibat pencemaran.

Batu marmar berkualiti tinggi Taj Mahal yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO itu kini memiliki kesan berwarna kuning sejak beberapa tahun lalu.

Mahkamah Agung dalam satu kenyataan selepas meneliti foto terbaru Taj Mahal berkata, batu marmar itu pada mulanya bertukar ke warna kuning dan kini kelihatan seperti hijau kehitaman.

Taj Mahal secara perlahan-lahan diselaputi kesan kekuningan berikutan debu tebal di rantau itu.

Turut kelihatan adalah warna hijau pada bahagian dinding yang mengadap antara sungai paling tercemar di India, Sungai Yamuna.

Pelbagai kaedah termasuk menggunakan pek lumpur untuk menanggalkan kesan dari marmar monumen itu telah diguna pakai sejak perkara terbabit meraih perhatian golongan pemulihara alam sekitar.

Pihak berkuasa pada awal tahun ini turut mengumumkan kemungkinan mengehadkan jumlah pengunjung bagi mengurangkan sebarang kerosakan yang berlaku pada binaan penuh bersejarah itu. - AFP

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 2:25am
d