global

Anak pemandu bas jadi menteri

Oleh Agensi

London: Perdana Menteri Britain, Theresa May melantik anak pemandu bas keturunan Pakistan sebagai menteri dalam negeri yang baru selepas peletakan jawatan Amber Rudd, baru-baru ini.

Theresa menamakan Sajid Javid, 48, sebagai pengganti dalam kementerian yang penting itu selepas Amber berundur ekoran kontroversi memperdaya penggubal undang-undang berhubung sasaran jumlah penghantaran pulang pendatang tanpa izin.

Amber pada mulanya memberitahu satu jawatan kuasa parlimen bahawa tiada senarai individu yang dianggap masuk ke negara itu secara haram dan berdepan proses penghantaran pulang.

Bagaimanapun, beberapa pendedahan dokumen yang dialamatkan ke pejabatnya mendapati senarai itu sebenarnya wujud.

Amber mengetuai Kementerian Dalam Negeri sejak 2016.

Keputusannya meletak jawatan menjadi tamparan hebat kepada pemimpin Konservatif itu, yang sebelum ini menyatakan keyakinannya kepada Amber.

Senario terkini memberi satu gambaran Theresa mungkin berdepan kesukaran dalam pilihan raya tempatan di seluruh England, Khamis ini.

Menurut laporan agensi Channel NewsAsia, Javid adalah anak pemandu bas keturunan Pakistan yang tiba di Britain pada 1961 dengan hanya berbekal wang £1 dalam kocek.

Ahli politik daripada Parti Konservatif itu antara tokoh yang meningkat naik di Britain.

Javid pernah memegang jawatan penting dalam Bank Deutsche sebelum dipilih sebagai ahli parlimen pada 2010.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 5:45am
d