global

9 maut, pesawat kargo tentera AS terhempas

Oleh AFP

SEMBILAN maut selepas pesawat kargo tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas, berhampiran lapangan terbang Savannah, semalam.

Menurut pihak berkuasa, pesawat kargo C-130 ‘Hercules’ milik Pengawal Udara Kebangsaan Puerto Rico itu terhempas pada 11.30 pagi (waktu tempatan).

Selain lima anak kapal, turut terbunuh empat penumpang.

“Kami mengesahkan bahawa sembilan maut dalam insiden itu, iaitu lima anak kapal dan empat penumpang yang juga anggota tentera,” kata jurucakap Pengawal Kebangsaan Puerto Rico, Mejar Paul Dahlen.

Presiden Donald Trump dalam mesej di Twitter berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan menyatakan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Dahlen berkata, pesawat yang dipercayai berusia lebih 50 tahun itu dalam perjalanan ke Pangkalan Tentera Udara Davis Monthan, yang turut dikenali sebagai kawasan ‘perkuburan’ bagi pesawat lama atau usang.

“Pesawat C-130 itu berada di Georgia untuk penyenggaraan dan dipercayai dalam keadaan baik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan mengenai punca kejadian sedang dijalankan.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 8:39am
d