global

77 maut, ribut pasir landa utara India

Oleh Agensi

NEW DELHI: Ribut pasir yang melanda seluruh utara India meragut sekurang-kurangnya 77 nyawa dan mencederakan 143 lain ketika pokok dan dinding tumbang akibat angin kencang, kata pihak berkuasa hari ini.

Ribut semalaman itu menyerang Uttar Pradesh dan Rajasthan dengan angka kematian dijangka meningkat, kata pihak berkuasa.

Ada 46 kematian disahkan di Uttar Pradesh di utara dan 31 lagi di negeri padang pasir di Rajasthan yang terletak di barat.

Daerah Agra dalam Uttar Pradesh antara paling teruk terjejas dengan lebih 30 terbunuh.

Taj Mahal terletak dalam Agra namun pihak berkuasa berkata, tugu peringatan itu kekal utuh.

Kebanyakan mangsa terkena runtuhan dinding, pokok, tiang elektrik serta rumah.

“Kami mengesahkan sekurang-kurangnya 46 kematian, 41 cedera di sekitar 40 daripada 75 daerah di Uttar Pradesh,” kata pegawai pejabat Suruhanjaya Bantuan Uttar Pradesh, T P Gupta.

Katanya, 36 kematian berlaku di daerah Agra.

Pihak berkuasa berkata, 157 haiwan turut terkorban di seluruh negeri itu.

Tiga daerah di Rajasthan, negeri popular pelancong kerana istana warisan dan budaya warna warni paling teruk terjejas.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 4:37pm
d