global

Pelakon, pengarah gila seks dilucut keahlian

Oleh AFP

AKADEMI Sains dan Seni Perfileman hari ini, menggantung keahlian pelakon, Bill Cosby dan pengarah, Roman Polanski susulan kes serangan seksual membabitkan mereka.

“Ahli lembaga pengarah akademi mencapai kata sepakat Selasa lalu dan mengundi untuk melucutkan keahlian mereka selaras dengan Piawaian Perilaku organisasi,” menurut kenyataan badan yang menganugerahkan Oscar itu.

Cosby, yang pernah menjadi personaliti kegemaran televisyen Amerika, dituduh melakukan serangan seksual terhadap puluhan wanita.

Pelawak berusia 80 tahun itu didapati bersalah atas tiga tuduhan serangan seksual pada 26 April lalu kerana menyalahgunakan dadah dan mencabul Andrea Constand di rumahnya di Philadelphia pada Januari 2004.

Dia berkemungkinan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Sementara, Polanski, yang menetap di Perancis, dikehendaki di Amerika Syarikat atas dakwaan merogol seorang gadis berusia 13 tahun pada 1977.

Sejak sekian lama, pengarah filem ‘Rosemary’s Baby’ berusia 84 tahun itu berusaha untuk menyelesaikan dakwaan berkenaan di luar mahkamah dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 8:21am
d