global

Cari penawar, dapat maut

New Delhi: Hasrat seorang wanita yang datang ke India bagi menjalani rawatan penyakit kemurungan dialaminya berakhir tragedi apabila ditemui mati dalam keadaan mengerikan.

Liga Skromane, 33, dipercayai diberi dadah, dirogol dan kepalanya dipenggal sebelum mayatnya ditemui tergantung dalam keadaan terbalik di dalam hutan bakau.

Wanita itu datang ke Kerala bersama adiknya pada Februari lalu untuk menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan tradisional India yang terkenal di negeri itu.

Liga berasal dari Latvia tetapi tinggal di Dublin, Ireland bersama pasangannya sejak lima tahun lalu.

Dia dilaporkan hilang selepas beberapa minggu tiba di negara itu selepas keluar dari pusat rawatan berkenaan untuk berjalan-jalan di pantai.

Mayatnya ditemui dalam keadaan mereput berhampiran sebuah hutan bakau di Thiruvallam pada 21 April lalu.

Jurucakap polis, Nazneen Bhasin berkata, polis menahan dua suspek yang mengaku memberi dadah kepada wanita itu sebelum merogol dan membunuh mangsa dengan kejam.

Katanya, kedua-dua suspek itu pengedar dadah dan pernah ditahan sebelum ini atas kes memukul serta serangan seksual di kawasan mayat mangsa ditemui.

Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan sukar mengenal pasti punca kematian mangsa kerana mayatnya sudah terlalu reput. - Daily Mail

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 4:30am
d