global

'Selfie' dengan beruang undang maut

NEW DELHI: Tindakan berani seorang pemandu teksi menghentikan kenderaannya semata-mata mahu mengambil swafoto dengan seekor beruang memakan diri apabila haiwan buas itu membahamnya sehingga mati.

Daily Mail melaporkan, Prabhu Bhatara dalam perjalanan menghantar penumpang pulang dari satu majlis perkahwinan di Kotapad apabila dia berhenti di tepi jalan berhampiran hutan untuk membuang air kecil di wilayah Odisha, Rabu lalu.

Dia ternampak beruang yang cedera itu dan memutuskan mahu mengambil swafoto, walaupun dihalang berbuat demikian oleh penumpang teksinya. Malangnya dia tergelincir menyebabkan haiwan itu menarik dan menerkam sebelum membahamnya.

Menurut Sun-Times, ketika kejadian, beruang itu minum air dari sebuah kolam di kawasan berkenaan apabila Bhatara mendekatinya.

Rakaman video dirakam saksi menunjukkan seorang lelaki berusaha menyelamatkan Bhatara dengan menuruni cerun untuk memukul beruang itu dengan batang kayu, tetapi gagal. Turut kelihatan seseorang membaling sesuatu. Seekor anjing juga cuba menyerang beruang terbabit untuk menyelamatkan mangsa.

Hindustan Times melaporkan, pegawai perhutanan segera dihubungi ke tempat kejadian tetapi malangnya mangsa sudah mati. - Agensi

http://www.dailymail.co.uk/news/article-5687089/Taxi-driver-mauled-death...

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 6:23am
d