global

Harimau bintang baham anak renjer

Oleh AFP

KAMPALA : Pihak berkuasa Uganda melancarkan gerakan memburu seekor harimau bintang yang melarikan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sebelum membahamnya di Taman Negara Ratu Elizabeth.

Kejadian Jumaat lalu berlaku ketika anak seorang renjer itu sedang dijaga oleh pengasuhnya di kuarters pekerja tidak berpagar dalam taman negara berkenaan.

Jurucakap pihak berkuasa hidupan liar, Bashir Hangi berkata mangsa mengekori pengasuhnya ke luar rumah sebelum diserang haiwan terbabit.

“Pengasuh itu tidak menyedari mangsa mengekorinya keluar. Dia mendengar jeritan kanak-kanak terbabit meminta tolong tetapi sudah terlewat untuk membantu kerana harimau bintang berkenaan sudah hilang di sebalik semak samun.

“Gerakan menyelamat mangsa berakhir dengan penemuan tengkorak milik kanak-kanak itu keesokan harinya,” katanya.

Bashir berkata, gerakan memburu harimau bintang itu dilancarkan bagi mengeluarkan haiwan berkenaan dari Taman Negara terbabit.

“Apabila harimau pernah menikmati daging manusia kebarangkalian untuk haiwan berkenaan mengulangi serangan ke atas orang lain adalah sangat tinggi dan ia begitu berbahaya,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 8:00pm
d