global

Pindah segera

Oleh Reuters

Pahoa, Hawaii: Pihak berkuasa Hawaii yang masih bertungkus-lumus menangani aliran lava dan letusan gas daripada gunung berapi Kilauea mengarahkan sebahagian penduduk berpindah segera selepas rekahan baru dikesan serta lebih banyak bangunan musnah.

Kilauea yang meletus Khamis lalu sehingga kini memusnahkan 26 rumah dan mengakibatkan 1,700 penduduk berpindah.

Gunung itu juga mengeluarkan lava dan gas toksik daripada beberapa lubang yang terbentuk di satu kawasan kecil di Pulau Besar Hawaii.

Satu rekahan baru dikesan pada malam kelmarin di Leilani Estates yang terletak 19 kilometer dari gunung berapi berkenaan menyebabkan pihak berkuasa menghantar amaran melalui telefon bimbit mengarahkan penduduk segera berpindah.

Rekahan berkenaan mengeluarkan gas sulfur dioksida yang boleh membahayakan sekiranya kandungannya terlalu tinggi.

Menurut Agensi Pertahanan Awam Hawaii, sehingga kini tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan akibat aktiviti gunung berapi berkenaan.

Penduduk di Leilani Estates dibenarkan pulang sementara kelmarin untuk mengambil haiwan kesayangan, perubatan dan memeriksa harta benda mereka.

Bagaimanapun, penduduk, Jeremy Wilson mendapati rumahnya dikelilingi rekahan sepanjang berpuluh-puluh meter.

“Rumah saya berada di tengah-tengah ini. Apabila saya mengundur kereta, saya melihat stim keluar dari rekahan di jalan raya,” katanya.

Pemantau Gunung Berapi Hawaii menjangkakan letusan lava dan gas bersama gempa bumi kecil berterusan untuk satu tempoh masa yang belum dapat dipastikan.

Pakar geologi berkata, aktiviti itu hampir sama seperti kejadian pada 1955 apabila letusan berterusan selama 88 hari dan kawasan seluas 1,618 hektar diliputi lava.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 9:29am
d