global

Besi 50sm tusuk mata

Beijing: Seorang pekerja pembinaan bertarung nyawa apabila mata kirinya tertusuk besi sepanjang 50 sentimeter dalam kejadian di timur China.

Modern Daily melaporkan, lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu dimasukkan ke Hospital Bersekutu Kedua di Universiti Soochow untuk mengeluarkan batang besi berkenaan.

Biarpun ditimpa kejadian mengerikan itu, lelaki terbabit tetap bersikap tenang ketika bomba memotong sebahagian besi itu sebelum dimasukkan ke bilik pembedahan.

Berdasarkan satu rakaman, beberapa anggota bomba berusaha memotong besi itu sebelum dikeluarkan doktor bedah.

Mereka menutup muka lelaki itu dengan kain pembalut sebelum seorang menggunakan pemotong besi untuk memotong besi yang tertusuk mata mangsa.

Seorang lagi anggota bomba menuang air pada besi itu untuk mengurangkan kepanasan ketika besi dipotong.

Mangsa dikatakan masih sedarkan diri ketika usaha menyelamat dilakukan dalam tempoh tiga minit itu.

Doktor yang menjalankan pembedahan itu berjaya menyelamatkan mangsa.

Keadaannya dilaporkan stabil dan semakin pulih daripada kecederaan yang dialami.

Dia akan menjalani beberapa rawatan susulan lagi selepas ini. - Daily Mail

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 7:08am
d