global

Penjaga 'rumah neraka'

Oleh Agensi

Bogota: Dua rahib ditahan kerana didakwa mendera 65 kanak-kanak dalam jagaan mereka di bandar Popayan, barat Colombia.

Mirror melaporkan, Sor Ines Perez dan Rosa Elvira Trochez Joaqui didakwa menyeksa kanak-kanak dalam jagaan mereka di Rumah Penjagaan Santa Clara dengan membakar tangan dan memasukkan kepala mereka ke dalam mangkuk tandas.

Pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran yang mendengar jeritan dan tangisan kanak-kanak terbabit.

Siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan memang diseksa secara fizikal dan psikologi, dengan jiran turut menyifatkan rumah penjagaan itu sebagai neraka, lapor media tempatan.

Antara penderaan dihadapi mereka yang menurut biarawati itu sebagai satu bentuk hukuman ialah tangan dibakar, kepala dimasukkan ke dalam mangkuk tandas dan rambut dipotong.

Sor dan Rosa masing-masing didakwa melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak ketika di bawah jagaan mereka dari 2014 hingga 2017.

Bagaimanapun kedua-duanya menafikan melakukannya.

Menurut laporan, rumah penjagaan itu sebelum ini ditutup selepas mendapat aduan, tetapi dibenarkan beroperasi semula.

Sor memberitahu Institut Kesejahteraan Keluarga Colombia (ICBF) atau kerajaan tempatan langsung tidak membantu memberikan bantuan dan dana untuk kanak-kanak yang tinggal di rumah itu.

Sementara itu, kes itu masih disiasat dan kanak-kanak berkenaan diletakkan di bawah jagaan ICBF.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 7:12am
d