global

Pencuri cat wajah elak dicam

Moscow: Seorang lelaki boleh dianggap sebagai penjenayah paling bodoh di Russia apabila mengecat wajahnya dengan warna hijau dengan harapan saksi tidak dapat mengenal pastinya ketika dia melakukan jenayah.

Dalam kejadian pada minggu lalu itu, helah lelaki berkenaan sudah pastinya tidak berjaya apabila dia ditangkap kerana meragut beg tangan seorang wanita di stesen kereta api Krasnodar.

Polis Krasnodar berkata, wanita itu menghubungi polis mendakwa beg tangan miliknya diragut seorang lelaki ketika menunggu kereta api di stesen berkenaan.

Satu pasukan polis yang dihantar ke lokasi kejadian menyoal siasat mangsa dan saksi yang memberitahu muka lelaki yang melakukan jenayah itu berwarna hijau.

Kerana wajah lelaki itu yang terlalu pelik, polis tidak menghadapi masalah besar untuk mengesan suspek sebelum menangkapnya.

Lebih menarik lagi, suspek berusia 23 tahun itu ditangkap dengan pantas sehingga dia tidak sempat membuka beg tangan yang dicurinya.

Ketika disoal siasat, suspek memberitahu polis, dia mengecat mukanya sebelum melakukan jenayah kerana mahu menyembunyikan wajahnya daripada dikenal pasti.

Menurut polis, lelaki itu bakal didakwa atas tuduhan mencuri dan berdepan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah. - Agensi

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 2:19am
d