global

Budak kahwin wanita demi ibu

New Delhi: Seorang budak lelaki berusia 13 tahun mengahwini perempuan 10 tahun lebih berusia daripadanya semata-mata mahu memenuhi kehendak ibunya yang nazak untuk wanita dewasa menguruskan rumah keluarga mereka selepas kematiannya.

Media tempatan melaporkan, majlis perkahwinan di Upparahal, Andhra Pradesh itu berlangsung pada 27 April lalu tetapi cuma diketahui pihak berkuasa tempatan selepas gambar upacara berkenaan menjadi tular di media sosial.

Menurut Hindustan Times, kedua-dua keluarga pengantin terbabit kini dilaporkan hilang. Menurut penduduk tempatan, remaja itu datang daripada keluarga miskin dan kedua-dua ibu bapanya meraih pendapatan seharian sebagai buruh.

“Wanita itu nazak dan suaminya kaki botol, jadi dia bimbang empat anaknya terabai melainkan yang sulung dikahwinkan dengan wanita yang lebih berusia,” kata jiran yang enggan dikenali.

Menurutnya, wanita itu dimaklumkan mengenai keluarga yang mencari suami untuk anak perempuan mereka berusia 23 tahun dan hasil rundingan masing-masing bersetuju untuk menyatukan dua keluarga berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Srinivasa Rao dipetik The Hans India berkata: “Perkahwinan itu akan dibatalkan kerana tidak sah di sisi undang-undang. Jika ibu bapa mereka tidak menyerahkan pasangan terbabit kepada pihak berkuasa daerah dalam tempoh dua hari, kami akan membuka kertas siasatan terhadap mereka.”
- Agensi

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 2:09am
d