global

Ulama Syiah dahului pilihan raya

Baghdad: Persaingan menjadi perdana menteri Iraq seterusnya semakin sengit apabila dua perikatan luar nampak mengetuai undian dalam pilihan raya pertama sejak kejatuhan Daesh di negara itu.

Berdasarkan keputusan separa rasmi diperoleh AFP, perikatan Mara Terhadap Pembaharuan pimpinan ulama Syiah, Moqtada Sadr dan sekutu komunisnya mendahului di enam daripada 18 wilayah Iraq selain di tempat kedua di empat yang lain.

Perikatan Penakluk terdiri daripada bekas pejuang kumpulan paramilitiari yang rata-ratanya disokong Iran dan memerangi Daish, mendahului di empat wilayah serta tempat kedua di lapan yang lain.

Susulan undian Sabtu lalu, Perikatan Kemenangan diketuai Perdana Menteri Haider al-Abadi yang disokong masyarakat antarabangsa nampaknya cuma menang di satu wilayah.

Bagaimanapun, sistem pengiraan undi rumit Iraq bererti keputusan akhir masih akan mengambil masa untuk diputuskan.

Apapun keputusannya, banyak juga perkara perlu dirundingkan antara pihak utama sebelum kerajaan dan pemimpin baru mampu dilantik.

Jumlah pengundi Sabtu lalu terlalu rendah dengan hanya 44.5 peratus pengundi layak keluar membuat pilihan, dianggap terendah sejak kejatuhan Saddam Hussein pada 2003.

Sebaik keputusan kejayaan Moqtada diumumkan penyokongnya berarak di ibu negara meraikan kemenangannya.

Seorang penyokong, Zeid al-Zamili, 33, menyifatkannya sebagai ‘kemenangan terhadap rasuah’ dan ‘bab baru untuk rakyat Iraq.’

“Cukuplah rasuah, sudah bertahun kami derita. Sekarang semuanya akan berubah,” kata seorang lagi penyokong. - AFP

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 3:23am
d