global

Enggan terima

Oleh AFP

Surabaya: Penduduk di Surabaya yang berang dengan gelombang serangan berani mati di bandar itu enggan membenarkan penyerang nekad terbabit dikebumikan di kejiranan mereka.

Serangan di gereja dan sebuah balai polis oleh dua keluarga termasuk dua budak perempuan berusia sembilan serta 12 tahun menggemparkan negara itu baru-baru ini.

Polis berkata, mereka dan satu lagi keluarga anggota kumpulan mengaji sama dan dikaitkan dengan rangkaian pelampau tempatan yang beroperasi di bandar kedua terbesar Indonesia itu.

Keluarga penyerang terbabit tidak menuntut mayat mereka menyebabkan polis memutuskan melakukan pengebumian di tanah perkuburan tempatan, tetapi dibantah keras penduduknya.

Ketua Polis Jawa Timur, Machfud Arifin berkata: “Kami terpaksa menangguhkan pengebumian mereka.”

Dua belas orang terbunuh dalam serangan di Surabaya itu termasuk budak lelaki berusia 15 tahun yang juga penduduk di kejiranan tempat tanah perkuburan berkenaan.

Sementara itu, pegawai tempatan, Yunus berkata dia memahami perasaan penduduk di situ.

“Memang saya faham perasaan mereka semua. Seorang mangsa penduduk di sini. Gereja ini juga sebahagian daripada kami.

“Dan kini mereka mahu mengebumikan penyerang berkenaan di sini? Keluarga mereka sendiri tidak mahu menuntut mereka, jadi kenapa pula mereka patut dikebumikan di sini?” katanya.

Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini berkata, dia menghubungi Majlis Ulama Indonesia untuk mendapat pandangan mereka mengenai apa yang perlu dilakukan dengan jenazah berkenaan.

“Isu ini amat sensitif,” katanya.

Penduduk di satu lagi kejiranan di pinggir Surabaya turut menolak pengebumian Tri Ernawati, ibu beranak empat yang meletupkan diri bersama suami serta anaknya di balai polis, Isnin lalu. Anak perempuannya berusia tujuh tahun terselamat dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, pegawai tempatan Kukuh Santoso tidak bersetuju dengan pandangan penduduk itu.

“Dia sudah mati - apa lagi yang boleh dilakukannya? Di mana kemanusiaan kita?

“Memang serangan itu satu tragedi tetapi fikirlah juga perasaan keluarganya yang pasti terkejut mendapat tahu dia seorang penyerangnya,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 4:17am
d