global

Kotak hitam nahas pesawat Cuba ditemui

Oleh Reuters

HAVANA : Kotak hitam pesawat Boeing 737 yang terhempas dua hari lalu sehingga meragut 110 nyawa berjaya ditemui dan berada dalam keadaan baik.

Menteri Pengangkutan Cuba, Adel Yzquierdo ketika bercakap kepada media tempatan semalam mengesahkan penemuan itu.

“Kotak kedua sepatutnya diterima dalam tempoh beberapa jam lagi,” katanya.

Kedua-dua kotak hitam mengandungi perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan itu ialah bukti utama untuk menentukan punca nahas pesawat berusia 39 tahun yang terhempas Jumaat lalu, sejurus selepas meninggalkan lapangan terbang menuju ke timur Cuba.

Tragedi itu adalah yang terburuk pernah berlaku di negara terbabit dalam tempoh 30 tahun.

Menurut Yzquierdo, kotak hitam berkenaan telah diserahkan kepada pasukan penyiasat untuk tindakan lanjut.

Pesawat Boeing yang beroperasi di bawah syarikat Cuba de Aviacion itu disewa dari sebuah syarikat kecil berpangkalan di Mexico, dikenali sebagai Global Air atau Aerolineas Damojh.

Ia disahkan lulus pemeriksaan keselamatan pada November lalu.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 11:26am
d