global

Gayat...

Oleh Agensi

Beijing: Hanya mereka yang berani mungkin sanggup merasai pengalaman tergantung di atas lantai kaca dari ketinggian 202 meter untuk menikmati pemandangan menakjubkan di tenggara China, Gulongxia.

Menurut laporan media China, ia adalah tarikan pelancongan terbaru iaitu menara tinjau tergantung di lembah terkenal bandar Qingyuan, wilayah Guangdong yang bakal dibuka bulan depan.

Dikenali sebagai Yun Tian Bo Ba, struktur dek pemerhatian berbentuk bulatan kaca itu dibina berukuran 72 meter panjang dari tebing lembah.

Ia digelar sebagai ‘Grand Canyon Kaca’ di China memandangkan bentuknya seakan sama dengan Skywalk Grand Canyon di Arizona, Amerika Syarikat.

Daily Mail melaporkan, pelancong boleh menikmati pemandangan panorama indah di kawasan lembah dan air terjun yang terkenal dengan aktiviti rakit lasak di situ.

Lantai kaca turut dilengkapi dengan corong khas bagi membolehkan orang ramai merasai udara di kawasan pergunungan berkenaan.

“Dengan lantai pemerhatian, laluan serta jambatan diperbuat daripada kaca ini ialah struktur pemandangan pertama yang mempunyai gabungan kaca pada ketinggian seperti ini,” kata Biro Pentadbiran wilayah Zhuhai di Weibo.

Struktur itu dibina dengan tiga lapisan kaca tebal berukuran 4.5 sentimeter (cm) yang boleh menampung berat lebih 20 tan.

Menurut laporan itu, seramai lapan orang diperlukan untuk membawa setiap keping kaca terbabit.

Ketika ini, Gulongxia diberi penarafan 4A dalam kategori Tarikan Pelancong China iaitu sistem penarafan yang digunakan pihak berkuasa dalam menentukan kualiti tarikan pelancongan dari segi keselamatan, kebersihan serta pengangkutan.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 1:58am
d