global

Trump tidak boleh sekat kritikan

Oleh AFP

Washington: Mahkamah memutuskan Presiden Donald Trump tidak boleh menyekat pengguna Twitter yang tidak sependapat dengannya, termasuk yang mengkritiknya.

Hakim Persekutuan, Naomi Reice Buchwald, berkata dalam penghakimannya semalam, menyekat pengkritik Trump dengan menghalang mereka daripada melihat dan berinteraksi dengan tweet presiden, melanggar hak kebebasan bersuara pengguna yang dijamin dalam Pindaan Pertama Perlembagaan.

Hakim itu berkata, pengguna ‘tidak boleh disekat kerana diskriminasi pandangan’ dan ia ‘tidak dibenarkan di bawah Pindaan Pertama.’

Keputusan itu diambil sebagai tindak balas tuntutan undang-undang difailkan sekumpulan pengguna Twitter dan Knight First Amendment Institute di Columbia University.

Tuntutan itu berpendapat oleh kerana Trump menggunakan Twitter untuk pelbagai pengumuman dasar, akaun itu dianggap ‘forum awam’ yang tidak dapat menolak orang awam kerana pandangan politik mereka.

Hakim mengakui walaupun presiden mempunyai hak kebebasan bersuara tertentu, ia tidak boleh melanggar hak pengguna Twitter lain.

“Walaupun kita perlu mengiktiraf dan sensitif kepada hak peribadi Pindaan Pertama Presiden, beliau tidak boleh melaksanakan hak itu dengan cara melanggar hak Pindaan Pertama yang berkaitan dengan mereka yang mengkritiknya,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 2:13am
d