global

Israel mahu terus jajah Bukit Golan

Oleh Agensi

Baitulmaqdis: Israel yang menggesa pentadbiran Presiden Donald Trump mengiktiraf kedaulatannya terhadap Bukit Golan diduduki, menjangka Amerika Syarikat akan memberi persetujuan dalam masa beberapa bulan lagi.

Dalam temuramah dengan Reuters, Menteri Perisikan negara itu, Israel Katz, menyifatkan cadangan mengiktiraf Israel sebagai penguasa tanah di Golan sejak 51 tahun lalu, sebagai agenda utama dalam rundingan diplomatik dua hala dengan Amerika.

Sebarang langkah yang diambil akan dilihat sebagai susulan tindakan Amerika keluar daripada perjanjian nuklear antarabangsa dengan Iran dan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel serta pembukaan kedutaan baru Amerika bulan ini.

Tindakan Trump dipuji Israel namun menyebabkan kebimbangan dalam kalangan sekutu utama Washington di Eropah.

“Kami bertemu dengan Israel bagi membincangkan pelbagai isu,” kata seorang pegawai Rumah Putih, namun enggan mengesahkan butiran yang dinyatakan Katz mengenai Golan. - Reuters

Sementara itu, AFP melaporkan Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman meminta kelulusan daripada kerajaan untuk membina 2,500 rumah membabitkan 30 penempatan di Tebing Barat.

“Sebanyak 2,500 unit bakal diluluskan jawatankuasa perancangan minggu depan untuk pembinaan segera pada 2018,” kata Lieberman dalam kenyataan.

Beliau turut berusaha mendapatkan kelulusan untuk pembinaan 1,400 rumah lagi.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 2:16am
d