global

15 cedera bom meletup di restoran

Oleh Reuters

DUA lelaki tidak dikenali berjalan masuk ke sebuah restoran di bandar raya Mississauga, Ontario, Kanada, semalam dan meletupkan bom sebelum melarikan diri, menyebabkan berbelas orang cedera, kata polis.

Letupan berlaku dalam restoran Bombay Bhel pada 10.30 malam waktu tempatan.

Lima belas dibawa ke hospital termasuk tiga daripadanya kritikal, menurut kenyataan Perkhidmatan Paramedik Wilayah Peel dalam Twitter.

Polis Wilayah Peel dalam kenyataan di Twitter berkata, dua suspek lelaki melarikan diri selepas meletupkan peranti letupan.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab dan motif serangan tidak diketahui.

Polis menyiarkan gambar di Twitter menunjukkan dua lelaki dengan hud berwarna hitam berjalan memasuki restoran itu.

Seorang daripada mereka membawa objek.

Polis Peel berkata, seorang suspek berusia pertengahan 20-an, sasa dan memakai jeans hitam dan hud gelap yang menutup kepala, dengan pakaian hitam menutup mukanya.

Suspek kedua kurus, memakai jeans biru lusuh, baju kelabu dan hud gelap menutup kepala, juga mukanya ditutup.

Jalan raya di kawasan itu ditutup dan ramai anggota polis berada di lokasi, dengan pegawai bersenjata tiba sebagai sebahagian tindak balas kecemasan, lapor media tempatan.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 5:27pm
d