global

Freeman minta maaf, nafi serangan seksual

Oleh Reuters

LOS ANGELES: Pelakon Morgan Freeman, hari ini berkata sebarang dakwaan beliau menyerang wanita atau mewujudkan persekitaran kerja tidak selamat adalah palsu.

Bintang veteran itu turut meminta maaf kepada sesiapa yang kecewa selepas media melaporkan beberapa wanita menuduh beliau berkelakuan tidak senonoh atau mengganggu mereka.

Tuduhan terhadap pemenang Oscar itu adalah yang terbaru dalam siri serangan terhadap pelakon, pengarah dan ejen lelaki yang menggegarkan Hollywood sejak Oktober 2017, dalam sesetengah kes membawa kepada peletakan jawatan dan penggantungan projek.

Semalam, pengarah terkenal Harvey Weinstein, didakwa merogol dan enam jenayah seks lain.

Tuduhan sama turut membabitkan lelaki dalam politik dan perniagaan Amerika Syarikat, dan memberi ilham kepada pergerakan media sosial #MeToo oleh mangsa yang berkongsi kisah gangguan atau penderaan seksual dialami.

Kelmarin, CNN melaporkan ia sudah berbicara dengan 16 orang sebagai sebahagian siasatan mengenai pelakon berusia 80 tahun itu, sebahagiannya mendakwa Freeman berkelakuan tidak senonoh di syarikat penerbitannya, Revelations Entertainment.

“Saya kecewa dengan 80 tahun kehidupan saya berisiko terjejas dalam sekelip mata dengan laporan media semalam.

“Namun saya juga ingin menjelaskan: Saya tidak mencetuskan persekitaran kerja tidak selamat. Saya tidak menyerang wanita. Saya tidak menawarkan pekerjaan sebagai pertukaran bagi seks. Sebarang dakwaan saya melakukannya adalah palsu semata-mata,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 9:16pm
d