global

Lapan rumah musnah dijilat lahar

Pahoa (Hawaii): Sekurang-kurangnya lapan rumah musnah akibat dijilat lahar yang mengalir dari Gunung Kilauea apabila ia mula memenuhi jalan di sini, kelmarin.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional, David Mace berkata, lahar itu mengalir ke kawasan perumahan Leilani Estates, menjadikan jumlah kemusnahan kepada bangunan kediaman dan struktur lain meningkat kepada 82 berbanding 60 hanya beberapa hari lalu.

Kira-kira 6,070 hektar tanah, yang menyamai separuh daripada saiz resort Disney World di Florida dibakar lahar berkenaan sejak 3 Mei lalu dalam letupan terburuk Kilauea sejak seabad lalu.

“Terdapat lapan rumah musnah di jalan ini dalam tempoh 12 jam,” kata seorang penduduk, Ikaika Marzo dalam rakaman video di Facebook ketika berada di jalan Kaupuli sambil memerhatikan aliran lahar berwarna hitam berkilat memusnahkan rumah sepupunya.

Leilani Estates yang dulunya dipenuhi taman tropika dan deretan rumah kini bertukar menjadi lokasi letusan magma setinggi 30 meter dari kon curam dan membentuk ketulan batu cair, memenuhi sepanjang jalan.

Pakar Geologi Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat, Wendy Stovall memberitahu media, aliran lahar itu sentiasa meningkat dan melimpah keluar.

Kira-kira 37 struktur kini terperangkap dalam aliran lahar itu dan penduduk setempat sekiranya masih belum berpindah akan berdepan kemungkinan yang mengancam nyawa masing-masing susulan pembentukan dinding lahar setinggi sembilan meter. - Reuters

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 6:29am
d