global

Charmaghz tingkat literasi anak Afghanistan

Oleh AFP

KABUL: Kira-kira 300 kanak-kanak menggunakan kemudahan perpustakaan bergerak, Charmaghz, sejak ia dilancarkan pada Februari lalu, bertujuan meningkatkan kadar literasi di Afghanistan.

Bermaksud kacang walnut, Charmaghz adalah hasil usaha graduan Universiti Oxford, Freshta Karim, yang bertekad untuk memberi peluang kepada kanak-kanak di negara itu untuk meningkatkan kebolehan membaca dan bercerita, iaitu sesuatu yang tidak beliau peroleh ketika membesar.

Freshta yang membesar sebagai pelarian di Pakistan, sebelum pulang ke Afghanistan pada 2002 selepas kejatuhan rejim Taliban.

Selepas memenangi biasiswa Chevening, beliau menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana (polisi awam) di Universiti Oxford, selepas memperoleh ijazah sarjana muda di Kabul.

“Ketika kami masih seorang kanak-kanak, kami tidak mempunyai kemudahan perpustakaan untuk kanak-kanak.

“Malah, saya masih ingat lagi, kami perlu duduk di atas lantai ketika di sekolah kerana ketiadaan kerusi,” kata Freshta kepada AFP.

Mengulas mengenai Charmaghz, beliau berkata, perpustakaan bergerak itu akan berhenti di beberapa lokasi seperti sekolah, taman dan rumah anak yatim setiap minggu, kerana ia adalah kawasan yang selamat untuk kanak-kanak membaca, bermain catur serta bertemu dengan rakan- rakan.

Katanya, ia adalah cara berkesan untuk memberi kemudahan kepada lebih ramai kanak-kanak, sekali gus memperbaiki kadar literasi di Afghanistan yang kini dicatatkan pada 36 peratus.

Dalam pada itu, Freshta yakin perpustakaan bergerak itu mampu membawa perubahan kepada Afghanistan, namun beliau berharap dapat mengumpul lebih banyak dana untuk menyewa dua lagi bas.

“Saya rasa perpustakaan bergerak tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam sistem pendidikan di negara ini.

“Tetapi saya yakin, perpustakaan bergerak ini adalah satu usaha kecil bagi mencapai matlamat yang lebih besar,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 2:16pm
d