global

Palestin bedil 130 mortar

Baitulmaqdis: Pejuang Palestin di Semenanjung Gaza melancarkan hampir 130 tembakan mortar ke arah selatan Israel hari ini (semalam) dalam ketegangan yang memuncak selepas tiga penduduk Palestin maut kelmarin.

Tentera Israel dalam kenyataan berkata, lebih 125 peluru mortar dibedil mensasarkan beberapa lokasi dalam wilayah dikuasai Israel.

“Kebanyakan peluru itu berjaya ditangkis oleh sistem pertahanan udara Iron Dome milik tentera,” kata kenyataan itu.

Menurut polis, beberapa peluru mortar mendarat di kawasan terbuka dalam wilayah Israel, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Kelmarin, seorang penduduk Palestin yang menghampiri pagar sempadan, maut akibat dibedil dengan kereta kebal Israel.

Menurut kenyataan tentera Israel, dua penduduk Palestin bersenjatakan pisau, pemotong wayar dan bahan mudah terbakar dikejar tentera berhampiran sempadan.

“Sebagai tindak balas, kereta kebal menembak pos kawalan tentera yang berada bersebelahan,” kata kenyataan itu.

Sehari sebelum itu, sebuah kereta kebal menjadikan kawasan pemantau pejuang Islam di sempadan Gaza sebagai sasaran, mendakwa bahan letupan dipasang di kawasan berpagar.

Tiga maut dalam serangan berkenaan. - Agensi

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 8:12am
d