global

Israel, Gaza berbalas serangan selepas pengebumian Razan

Oleh AFP

PESAWAT pejuang Israel menyerang 10 sasaran Hamas di Gaza sebagai tindak balas serangan meriam Palestin sekali gus membatalkan gencatan senjata dicapai beberapa hari lalu selepas peningkatan terburuk keganasan sejak perang 2014, kata tentera Zionis, hari ini,

Kemuncak konflik terbaru itu berlaku beberapa jam selepas ribuan penduduk Palestin menghadiri majlis pengebumian sukarelawan medik wanita yang dibunuh Israel dalam keganasan di sempadan selatan Gaza.

“Jet pejuang Israel menyasar 10 sasaran Hamas di tiga kemudahan tenteranya di Semenanjung Gaza. Antara yang disasarkan adalah dua tapak pembuatan dan simpanan senjata serta perkarangan tentera,” kata tentera Zionis awal hari ini.

Tentera Israel berkata, serangan itu adalah bagi membalas tembakan roket dilepaskan ke arah negara Yahudi itu serta ‘pelbagai aktiviti keganasan diluluskan Hamas pada hujung minggu.’

Petang semalam, pejuang Palestin melepaskan dua roket di selatan Israel di mana siren serangan udara dibunyikan, menyebabkan penduduk lari menyelamatkan diri.

Tiada kumpulan di Gaza mengaku bertanggungjawab atas serangan roket yang berlaku selepas pengebumian Razan al-Najjar, 21, sukarelawan Kementerian Kesihatan Gaza yang ditembak di dada berhampiran Khan Yunis kelmarin. -AFP

Berita berkaitan

Perginya insan hati waja

[UPDATE] Perjalanan terakhir Razan

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 10:09am
d