global

6 maut, 20 cedera lahar Fuego melimpah

Oleh Reuters

GUATEMALA CITY: Sekurang-kurangnya enam maut manakala 20 lain cedera semalam apabila gunung berapi Fuego, Guatemala meletus dengan ganas, memuntahkan aliran lahar merah panas dan kepulan asap hitam tebal dan abu ke udara.

Setiausaha Agung Agensi Bencana Conred Guatemala, Sergio Cabanas berkata, sungai lahar yang melimpahi tebing menjejaskan perkampungan Rodeo.

“Ada mangsa yang cedera, melecur dan maut. Kami sedang memindah dan menyelamatkan penduduk serta menerima laporan 20 mangsa cedera, enam maut dan hilang,” kata Cabanas.

Letusan itu juga memaksa Lapangan Terbang Antarabangsa La Aurora ibu kota ini menutup landasan tungggalnya.

Landasan ditutup berikutan kehadiran abu gunung berapi serta menjamin keselamatan penumpang dan pesawat, kata pihak berkuasa penerbangan awam Guatemala menerusi tweet.

Gunung berapi aktif Fuego terletak kira-kira 40 kilometer di barat daya ibu kota ini dan hampir ke bandar kolonial Antigua, popular dengan pelancong dan terkenal dengan ladang kopinya.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 10:14am
d