global

Sisi ampunkan 712 banduan

Oleh Reuters

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengampunkan 712 banduan, lapor agensi berita kerajaan, MENA semalam dan sumber keselamatan memaklumkan kebanyakan yang dibebaskan adalah belia yang dipenjarakan kerana protes anti kerajaan.

Bagaimanapun, senarai penuh banduan yang diampunkan itu tidak diumumkan lagi, setakat ini.

Sejak memerintah pada 2014, Sisi menjalankan operasi menyekat pembangkang Islam dan aktivis liberal. Kumpulan hak asasi manusia berkata, ia adalah tempoh tekanan politik terburuk dalam sejarah Mesir.

Beliau sering mengampunkan banduan beberapa kali setiap tahun termasuk ketika cuti besar nasional dengan membebaskan pelajar atau penunjuk perasaan muda.

Pada 2013, Mesir meluluskan undang-undang yang memerlukan kebenaran Kementerian Dalam Negeri sebelum memulakan perhimpunan awam membabitkan lebih 10 orang.

Peraturan itu berkesan menghentikan tunjuk perasaan besar-besaran yang berjaya menggulingkan dua presiden dalam tempoh tiga tahun, sejak 2011.

Sisi adalah bekas ketua tentera yang menggulingkan Presiden pro Islam, Mohamed Mursi pada 2013, selepas tunjuk perasaan besar-besaran menentang pemerintahan beliau.

Pengkritik berkata, Sisi melaksanakan dasar menyekat penentangan rakyat, namun beliau menafikan kewujudan tahanan politik di Mesir.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 6:29am
d