global

'Lawaknya tuduh kami ancam AS'

Oleh AFP

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau hari ini menyifatkan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan alasan keselamatan untuk tarif logam baharu terhadap sekutu Washington sebagai ‘melucukan’.

Kenyataan itu dilakukan ketika Trudeau berpakat dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam isu perdagangan sebelum persidangan tujuh negara ekonomi maju terbesar dunia, Kumpulan G7.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu di Ottawa sebelum menuju ke Quebec untuk menyertai Presiden AS dan rakan negara G7 lain untuk persidangan selama dua hari.

Mereka mengesahkan pelaksanaan tarif terhadap import produk logam dan aluminium akan turut menjejaskan pekerja AS.

“Ia adalah sesuatu yang melucukan untuk menuduh Kanada dan Perancis mengancam keselamatan negara AS, kami adalah sekutu rapat dengan AS sejak sekian lama,” kata Trudeau dalam sidang media bersama Macron.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 6:27am
d