global

Austria tutup 7 masjid, usir 60 imam

Oleh Agensi

AUSTRIA bakal mengusir 60 imam yang mendapat pembiayaan dari Turki, termasuk ahli keluarga mereka serta menutup tujuh masjid sebagai sebahagian tindakan menyekat 'politik Islam', langkah yang dikecam oleh Ankara.

Canselor Austria, Sebastian Kurz berkata, kerajaannya akan menutup masjid yang ditadbir nasionalis Turki dan membubarkan kumpulan Komuniti Agama Arab yang mengendalikan enam masjid.

Pada 2015, ketika menjadi Menteri Integrasi, Kurz menggerakkan pelan meluluskan undang-undang keras ke atas penganut Islam yang melarang pembiayaan asing untuk kumpulan agama serta menetapkan masyarakat Muslim mesti ada pandangan positif ke atas kerajaan dan orang tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Herbert Kickl dari Parti Kebebasan yang berhaluan kanan, rakan kerajaan campuran Austria, berkata:

"Bilangan mereka yang mungkin terbabit akibat usaha ini mungkin seramai 60 imam."

Kickl merujuk kepada imam yang didakwa ada hubungan dengan Persatuan Kebudayaan Turki-Islam (ATIB), cawangan kepada agensi hal ehwal agama Turki, Diyanet, lapor akhbar Daily Mail, semalam.

Beliau juga berkata, kerajaan mengesyaki mereka melanggar pengharaman mengenai pembiayaan asing kepada pemegang jawatan hal ehwal agama.

Kementeriannya memberitahu, 40 daripada imam berkenaan sudah memohon untuk melanjutkan taraf pemastautin dan ada yang sudah dirujuk kepada pihak berkuasa imigresen di mana proses pengusiran sedang berjalan.

Jika ahli keluarga juga diambil kira, sekurang-kurangnya 150 orang berisiko hilang taraf pemastautin, kata Kickl dalam sidang akhbar.

Tujuh masjid juga akan ditutup selepas siasatan rasmi April lalu mendapati kanak-kanak melakonkan kembali peristiwa Gallipoli ketika Perang Dunia Kedua di sebuah masjid tajaan Turki .

Hubungan Turki dengan Austria sudah lama tegang dengan Kurz menggesa Kesatuan Eropah (EU) menghentikan rundingan dengan Ankara menyertai EU dan mengharamkan ahli politik Turki berkempen bagi pilihan raya di Austria tidak lama lagi.

Austria mempunyai 8.8 juta penduduk dengan 600,000 beragama Islam dan separuh daripada mereka berketurunan Turki atau dari keluarga Turki.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 9:06pm
d