global

Latihan persediaan bantu orang gemuk

Oleh Agensi

London: Masalah obesiti yang semakin meningkat di Britain menyebabkan jabatan bomba dan anggota paramedik negara itu membuat persediaan untuk berdepan situasi menyelamat mangsa yang mempunyai berat badan berlebihan.

Bagi berdepan situasi seperti itu, pasukan penyelamat menggunakan patung seberat 250 kilogram untuk latihan simulasi menyelamat.

Patung yang diisi batu dan bebola besi itu direka supaya ia mempunyai berat seperti manusia yang tidak sedarkan diri, hampir sama seperti situasi menyelamat sebenar.

Daily Mail melaporkan, patung latihan paling berat yang digunakan pasukan penyelamat adalah seberat 250 kilogram dan berharga kira-kira £2,433 (RM13,000).

Suku daripada golongan dewasa di Britain kini mengalami masalah obesiti, bermakna mereka mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30. Bagi lelaki setinggi 1.8 meter, berat mereka mencecah 105 kilogram.

Syarikat Ruth Lee Ltd dari North Wales yang menjual patung berkenaan memberitahu, mereka juga mempunyai pelanggan termasuk rumah pengurusan mayat, kapal persiaran dan syarikat penerbangan.

Pengurus jualannya, Sarah Hampson berkata, patung itu penting supaya pasukan penyelamat boleh berlatih berdepan situasi di mana setiap saat adalah sangat penting.

“Kejadian seperti kebakaran apartmen Grenfell menunjukkan pentingnya mempunyai pelan pengosongan yang baik.

“Tiada gunanya mempunyai sesuatu pelan tetapi anda tidak yakin ia dapat dilakukan atau tidak. Sebagai contoh, hospital boleh mempunyai bilik bedah di tingkat lima.

“Sekiranya berlaku kebakaran dan lif tidak berfungsi serta anda mempunyai pesakit yang sangat obes, apa yang patut anda lakukan? Jawapannya, letakkan pesakit di atas helaian plastik tugas berat dan menggelongsor turun melalui tangga,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 11:21am
d