global

Itali, Malta berbalah soal pendatang

Oleh AFP

Rome: Malta mengulangi keengganan membuka pelabuhannya kepada kapal penyelamat pendatang tanpa izin yang diurus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Mediterranean yang sarat dengan ratusan penumpang.

Ia sekali gus tidak mengendahkan gesaan Menteri Dalam Negeri Itali yang mendesak supaya membantu.

Sekurang-kurangnya 629 pendatang diselamatkan kapal SOS Mediterranee, Sabtu lalu, namun terkandas di dalam bot NGO Perancis, Aquarius, di antara Malta dan Sicily sementara menanti pelabuhan yang selamat untuk berlabuh.

Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini, dalam kenyataan bersama dengan Danilo Toninelli, menteri yang bertanggungjawab terhadap pengawal pantai Itali, menegaskan Malta tidak boleh terus bersikap acuh tak acuh dalam menghormati konvensyen antarabangsa mengenai perlindungan manusia.

Kerajaan Malta menjawab dengan berkata, Perdana Menteri Joseph Muscat sudah bercakap dengan Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte, menggariskan bahawa Malta ‘bertindak sepenuhnya mengikut kewajipan antarabangsanya’.

Salvini sebelum ini, mengancam menutup laluan ke pelabuhan Itali kepada kapal penyelamat pendatang sekiranya Malta gagal bertindak.

Sementara itu, Conte berkata, Itali sudah menghantar dua kapal peronda berserta doktor sedia untuk memeriksa kesihatan pendatang di dalam kapal Aquarius.

Jurucakap kerajaan Malta menegaskan operasi menyelamat pendatang itu berlaku di Libya, diketuai pusat koordinasi penyelamat di Rome, bermakna Malta tidak tertakluk secara undang-undang untuk menerima pendatang terbabit.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 10:26am
d