global

Perjanjian bakal akhiri Perang Dingin - Jae-in

Oleh AFP

PRESIDEN Korea Selatan, Moon Jae-in hari ini menyifatkan hasil sidang kemuncak antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un sebagai ‘peristiwa bersejarah’ yang mengakhiri konflik Perang Dingin lalu.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan mengalu-alukan kejayaan sidang kemuncak bersejarah Korea Utara-Amerika,” kata Jae-in dalam satu kenyataan.

“Perjanjian Sentosa bertarikh 12 Jun akan tercatat sebagai satu peristiwa bersejarah yang membantu menamatkan warisan Perang Dingin terakhir di muka bumi ini,” katanya.

Jae-in mengusahakan sesuatu yang penting dalam memainkan peranan sebagai pengantara untuk membawa dua musuh tradisi Perang Dingin ini kembali ke meja rundingan.

Beliau turut memuji Trump dan Kim di atas keberanian dan tekad mereka untuk mengambil langkah berani ke arah perubahan.

“Berdasarkan perjanjian yang dicapai hari ini, kami akan membina laluan baru ke hadapan. Kita akan berada di sana bersama-sama dengan Korea Utara di sepanjang perjalanan,” katanya.

Jae-in bagaimanapun mengingatkan bahawa ia hanyalah satu permulaan dan masih terlalu banyak halangan yang perlu ditempuh.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 11:57pm
d