global

Schneider bebas awal kerana penjara sesak

Oleh Daily Mail

Los Angeles: Aktor terkenal, John Schneider yang sepatutnya ditahan tiga hari di Penjara Daerah Los Angeles di sini bernasib baik apabila dibebaskan dalam tempoh beberapa jam sahaja gara-gara keadaan penjara itu yang terlalu sesak.

Schneider, 58, mendaftar masuk ke penjara terbabit pada jam 10.29 pagi (waktu tempatan) tetapi hanya menjalani hukuman kira-kira lima jam sebelum dibebaskan pada jam 3.46 petang.

Pelakon utama filem Dukes of Hazzard itu dijatuhkan hukuman penjara kelmarin, kerana gagal membuat bayaran alimoni kepada bekas isterinya, Elvira Castle.

Hakim mengarahkan dia menjalani hukuman penjara serta melakukan khidmat komuniti selama 240 jam.

Bagaimanapun, ia adalah perkara biasa bagi pesalah jenayah tidak ganas untuk dibebaskan keluar disebabkan penjara sesak.

Mahkamah sebelum ini memberi tempoh hingga Mac kepada Schneider menjelaskan bayaran lebih AS$150,000 (RM599,261) kepada bekas isterinya.

Dia mendakwa tidak mampu membuat bayaran itu kerana mengalami kerugian disebabkan studio penggambaran di Louisiana musnah akibat banjir pada Mac 2016.

“Jika mempunyai wang, saya sudah memberi kepadanya untuk menyelesaikan masalah ini tetapi saya tidak mempunyai wang. Harap ini menjadi bukti.

“Saya bekerja sekurang-kurangnya tujuh hari seminggu, 80 jam seminggu sejak 1978. Seperti orang lain, saya juga mempunyai banyak hutang yang terikat dengan impian saya.

“Ada kumpulan tertentu yang merasakan mereka layak untuk menjalani sebuah kehidupan atau menikmati kemewahan tanpa bekerja dan sistem kehakiman juga bersetuju dengan pandangan itu,” katanya.

Hakim sebelum ini memerintahkan supaya dia memindahkan pemilikan hartanah kepada bekas isterinya untuk menjelaskan bayaran itu serta cukai yang dikenakan terhadap hartanah terbabit.

Disiarkan pada: June 14, 2018 @ 10:50am
d