global

'Gempa' penyokong Mexico rupanya

Oleh Reuters/AFP

WARGA Mexico yang melompat kegembiraan gara-gara kemenangan pasukan kebangsaan ke atas Jerman 1-0 dalam perlawanan Piala Dunia dikatakan menyebabkan gegaran kuat hingga ‘menghidupkan’ pengesan gempa bumi.

Ia berikutan beribu-ribu peminat bola sepak Mexico bersorak dan menari kegembiraan di jalan raya selepas pasukan mereka mengejutkan penyandang juara berkenaan dalam perlawanan peringkat kumpulan di Moscow.

Institut Siasatan Geologi dan Atmosfera menyatakan, pengesan gempa mengesan gegaran di dua tempat di Mexico City, tujuh saat selepas jaringan kemenangan dilakukan pada minit ke-35.

Ia menyifatkan keadaan itu sebagai gempa ‘tidak asli.’

Presiden Enrique Pena Nieto turut sama berparti dengan membuat kenyataan di Twitter: "Sah: Mexico bersaing dan menang ke atas pasukan terbaik dunia. Tahniah kepada @miseleccionmx! Perlawanan hebat!"

Perarakan menyambut kemenangan itu juga dilaporkan berlangsung di bandar besar termasuk Guadalajara, Toluca, Tijuana dan Ciudad Juarez.

Mexico akan menghadapi Korea Selatan dalam perlawanan kedua di Rostov-on-Dov, Russia, Sabtu depan.

Lagi berita Piala Dunia 2018

Disiarkan pada: June 18, 2018 @ 4:23pm
d