global

Misi menyelamat feri karam diteruskan

Oleh Reuters

PIHAK berkuasa Indonesia menyambung semula misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi bot karam di Danau Toba, satu destinasi pelancongan popular di Sumatera Utara.

Dijangkakan 18 mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu yang berlaku petang semalam.

Tidak dapat dipastikan jika ada pelancong asing terbabit dalam insiden berkenaan.

Pegawai Kementerian Pengangkutan, Sri Hardianto berkata, misi menyelamat dimulakan sekitar jam 7 pagi waktu tempatan dan keadaan cuaca pada hari ini jauh lebih baik berbanding semalam.

“Kami menjangkakan terdapat 80 penumpang berada di dalam feri itu sewaktu kejadian namun pihak berkuasa masih menyiasat jumlah sebenar,” katanya.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional berkata, satu laporan tidak rasmi menyatakan terdapat sehingga 130 penumpang dalam feri berkenaan yang karam apabila dipukul ombak tinggi dan angin kencang.

Rakaman video oleh agensi terbabit menunjukkan bagaimana sebuah feri lain mencampakkan pelampung dan jaket keselamatan ke arah penumpang yang hampir tenggelam.

Kemalangan membabitkan feri adalah perkara biasa di Indonesia khususnya pada perayaan Aidilfitri apabila jutaan rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing menggunakan laluan darat, udara atau air.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 11:04am
d