global

Maut kena hempap

Oleh AFP

Osaka: Dua mangsa menjadi korban terbaru gempa bumi di bandar ini kelmarin sekali gus menjadikan bilangan penduduk yang maut kini lima orang, manakala lebih 380 lagi cedera.

Pihak berkuasa berkata, seorang wanita berusia 82 tahun ditemui mati semalam selepas terperangkap di bawah laci pakaian yang tumbang di rumahnya.

Seorang lagi lelaki berusia 66 tahun pula ditemui maut akibat ditimpa timbunan buku dan cakera padat di rumahnya.

“Setakat ini, kita mengesahkan lima orang dilaporkan mati, manakala 381 lagi cedera.

“Kerajaan akan terus berusaha untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap,” kata jurucakap tertinggi kerajaan, Yoshihide Suga kepada pemberita semalam.

Menurutnya, pihak berkuasa akan melakukan apa yang mampu untuk memulihkan semula bekalan gas dan air yang terjejas akibat gempa.

Mangsa lain yang dilaporkan maut ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dihempap tembok sekolahnya ketika gegaran 5.3 magnitud berlaku.

Dua lagi mangsa ialah warga emas berusia 80 tahun yang ditimpa dinding runtuh, manakala seorang lagi yang berusia 84 tahun maut dihempap rak buku di rumahnya.

Agensi Meteorologi Jepun turut mengeluarkan amaran hujan lebat sehingga hari ini yang kemungkinan menyebabkan berlaku tanah runtuh.

“Biasanya kita tidak mengeluarkan amaran dengan tahap hujan ini tetapi selepas berlaku gempa ia boleh menyebabkan tanah runtuh, banjir serta limpahan air sungai,” kata jurucakapnya, Masakatsu Oya kepada AFP.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku gegaran susulan yang kuat dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 4:49am
d