global

Nakhoda trauma

Oleh AFP

Simalungun (Indonesia): Kapten feri yang karam dalam nahas di Danau Toba pada Isnin lalu ditahan polis semalam, dalam pada pihak berkuasa meletakkan jumlah mangsa hilang seramai 193 orang.

Kapten berkenaan, Tua Sagala, yang juga pemilik feri antara 18 orang yang terselamat dalam nahas petang Isnin di destinasi pelancongan popular itu, dengan tiga penumpang disahkan mati.

Jurucakap polis, Yusri Yunus berkata: “Kapten bot itu kini dalam tahanan. Namun kami masih belum menyoalnya kerana dia masih trauma.”

Jumlah kematian rasmi menganggarkan 193 penumpang termasuk kanak-kanak masih hilang, seterusnya mencetuskan kebimbangan kejadian itu antara nahas maritim terburuk Indonesia.

Feri penumpang tradisional itu dipercayai beroperasi secara haram tanpa kebenaran atau tiket penumpang.

Pihak berkuasa menganggarkan jumlah penumpang yang dilaporkan hilang berdasarkan laporan keluarga mereka kemungkinan berada di dalam feri terbabit tetapi kenyataan mereka sukar untuk disahkan.

Bot itu mungkin membawa lima kali ganda had penumpangnya, selain puluhan motosikal.

Pegawai kanan kerajaan termasuk ketua polis negara serta ketua agensi mencari dan menyelamat tiba di lokasi itu, semalam.

Sementara itu, ratusan orang menunggu di tempat kejadian dengan harapan mendapat berita mengenai orang tersayang yang hilang.

Jadianto Nainggolan, 40, berkata, puluhan anggota keluarganya menaiki feri itu termasuk anak saudaranya berusia tiga tahun.

Dia menunjukkan gambar keluarganya yang diambil sejurus sebelum menaiki feri yang sehingga kini belum ditemui.

“Saya benar-benar mengharapkan keluarga kami ditemui. Namun saya tidak rasa agensi mencari dan menyelamat cukup berusaha.

“Saya lihat lebih ramai orang ditugaskan di pelabuhan dan bukannya tasik. Pasti ramai orang terperangkap di dalam bot itu,” katanya.

Operasi kini memfokuskan terhadap mencari mangsa termasuk yang masih di dalam feri berkenaan. Tidak jelas sama ada bot itu membawa warga asing.

Mangsa yang terselamat menceritakan bagaimana feri itu bergegar dalam keadaan angin kuat dan ombak besar kira-kira 15 minit selepas memulakan pelayaran dari pulau di tengah tasik itu ke darat. - AFP

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 10:39am
d