global

Perancang utama serangan Starbucks Jakarta dihukum mati

Oleh AFP

ULAMA Indonesia, Aman Abdurrahman dijatuhi hukuman mati hari ini, selepas mahkamah mendapati dia terbabit dalam serangan pengebom nekad disyaki anggota militan Daesh di sebuah kafe Starbucks di Jakarta pada 2016.

Terdahulu, mahkamah di sini, yang dikawal ketat pihak polis mendapati Aman bersalah kerana bertindak sebagai perancang utama serangan yang mengorbankan empat mangsa sebelum menjatuhkan hukuman ke atasnya.

“Pihak defendan berjaya dibuktikan terbabit dalam jenayah keganasan dan dengan itu beliau dikenakan hukuman mati,” kata hakim, Akhmad Jaini yang turut membacakan pembabitan Aman dalam beberapa siri serangan lain yang menyumbang kepada hukuman berkenaan.

Bulan lalu, pihak pendakwaan menggesa supaya Aman dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam serangan itu iaitu yang pertama didakwa dilakukan oleh militan Daesh di Asia Tenggara.

Aman dipercayai berusia 46 tahun, dianggap sebagai ketua de facto semua penyokong militan Daesh di Indonesia dan dia turut berperanan sebagai pemimpin agama rangkaian militan tempatan, Jamaah Ansharut Daulah (JAD).

Pihak berkuasa mendakwa JAD bertanggungjawab terhadap serangan pada 2016 dan beberapa siri pengebom nekad baru-baru ini, di bandar raya kedua terbesar di Indonesia, Surabaya.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 2:19pm
d