global

Bapa Michael Jackson meninggal dunia

Oleh AFP

BAPA mendiang Michael Jackson, Joe Jackson yang juga pengasas The Jackson 5 meninggal dunia pada usia 89 tahun, menurut laporan media, semalam.

Laman web hiburan TMZ dan ET melaporkan, Jackson meninggal dunia pada pagi Rabu di Los Angeles selepas bertarung dengan kanser.

Waris keluarga tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta untuk memberikan komen, tetapi Jackson sudah memberikan isyarat kematiannya menerusi laman Twitter, dua hari lalu.

“Saya melihat matahari terbenam lebih banyak daripada apa yang pernah saya lihat. Matahari terbit pada waktunya dan sama ada anda suka atau tidak, ia akan terbenam bila tiba waktunya,” tulisnya.

Mendiang seorang bapa yang tegas kepada 11 orang anak, pernah bekerja sebagai tukang besi di Gary, Indiana tetapi mencipta sejarah muzik apabila menjadi pengurus berjaya selepas menubuhkan The Jackson 5 yang terdiri daripada anak-anaknya.

Anaknya yang paling terkenal Raja Pop Michael Jackson pernah mengalirkan air mata menceritakan kisah dipukul bapanya dengan tali pinggang sewaktu kecil dan secara terbuka memaafkannya seperti yang ditulis dalam wasiatnya.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 1:26am
d