global

Hukum mati pengedar dadah di tempat awam

Oleh Agensi

Beijing: Sebuah mahkamah di selatan China kelmarin menjatuhkan hukuman mati terhadap dua lelaki yang didapati bersalah mengedar dadah sebelum melaksanakan hukuman itu di hadapan orang ramai.

Menurut laporan hinews.cn, kedua-dua lelaki itu menjalani hukuman mati dengan ditembak di kepala di sebuah stadium di Haikou di wilayah Hainan.

Hukuman berkenaan berlangsung di hadapan beratus-ratus penonton termasuk pelajar sekolah yang lengkap memakai pakaian seragam.

Hukuman di tempat awam itu dianjurkan Mahkamah Qiongshan dan Mahkamah Rakyat Haikou sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah.

Pesalah pertama, Cai Liqun berusia 39 tahun yang didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine.

Mahkamah memberitahu, Cai membeli dadah itu secara pos sebelum menjualnya semula antara September hingga November 2015.

Seorang lagi pesalah, Huang Zhengye, 36, didapati memindahkan dan menjual methamphetamine seberat 4.75 kilogram pada September 2015.

Hukuman mati dan arahan hukuman itu dijalankan dan dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Rakyat.

“Kini saya mengarahkan Cai Liqun dan Huang Zhenye dibawa ke depan untuk menjalani hukuman tembak,” kata seorang hakim wanita.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 5:45am
d