global

Tik Tok 'bersihkan' aplikasi

Oleh Reuters

Jakarta: Platform muzik video Tik Tok yang popular dalam kalangan golongan muda untuk menghasilkan video buatan sendiri akan menubuhkan pasukan penapisan di Indonesia dalam usaha membatalkan larangan terhadap ‘kandungan tidak bersesuaian’ dalam aplikasi itu, lapor media tempatan.

Aplikasi video dari China yang menampilkan klip video muzik buatan sendiri terutama tarian itu disekat pada Selasa lalu oleh pihak berkuasa Indonesia kerana memaparkan kandungan dianggap berunsur porno serta kufur.

Menteri Komunikasi dan Maklumat, Rudiantara memberitahu Reuters sekatan itu bersifat sementara dan akan ditarik balik sebaik Tik Tok membersihkan kandungan dalam aplikasinya itu.

“Kami meminta Tik Tok membina sistem boleh menapis kandungan negatif dan mahu mereka mempunyai pejabat perhubungan di Indonesia,” kata Rudiantara.

Sementara itu, jurucakap Toutiao, syarikat mengendalikan Tik Tok, memberitahu media aplikasi itu akan menubuhkan pasukan terdiri daripada 20 pegawai penapisan di Indonesia yang bertanggungjawab memantau dan menapis kandungan aplikasi itu.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 9:42pm
d