global

11 maut, 45 hilang

Oleh Reuters

SEBELAS maut dan sekurang-kurangnya 45 lagi dilaporkan hilang susulan hujan lebat berterusan yang melanda barat dan tengah Jepun, memaksa lebih 1.6 juta orang berpindah dari kediaman mereka, kata penyiar rasmi Jepun, NHK hari ini.

Agensi Kaji Cuaca Jepun mengeluarkan amaran khas ke seluruh empat wilayah utama di barat pulau Honshu Jepun, mengingatkan orang ramai terhadap bahaya tanah runtuh, air sungai yang melimpah dan angin kuat yang disifatkan sebagai hujan luar biasa.

Menurut agensi itu, walaupun cuaca kembali tenang di antara barat dan timur Jepun, terdapat risiko hujan lebat akan berterusan.

Seorang lelaki di bandar raya Hiroshima terbunuh selepas terjatuh dari jambatan ke dalam sungai, manakala seorang lelaki berusia 77 tahun di kota Takashima, wilayah Shiga, maut selepas terjatuh ke dalam terusan ketika bekerja, lapor NHK.

Dua yang lain dikhuatiri mati selepas ditemui di sebuah bangunan yang dilanda tanah runtuh manakala seorang wanita berusia 95 tahun, ditemui di rumahnya selepas sebahagian daripada gunung berdekatan runtuh.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga berkata kira-kira 48,000 polis, bomba dan Pasukan Pertahanan Awam Jepun bertindak ke atas lebih 100 laporan tanah runtuh serta rayuan bantuan lain.

Menjelang pagi ini, lebih daripada 1.6 juta orang diarahkan untuk mengosongkan rumah mereka kerana khuatir akan dilanda banjir dan tanah runtuh, dengan 3.1 juta lagi dinasihatkan untuk berpindah, kata Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 2:08pm
d