global

Operasi selamatkan remaja, jurulatih terperangkap bermula

Oleh Reuters

OPERASI berbahaya untuk mengeluarkan 12 remaja dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap di dalam gua di Thailand sejak lebih dua minggu lalu bermula hari ini, kata pihak berkuasa sambil menjangkakan remaja pertama akan keluar dalam tempoh 11 jam lagi.

Seramai 13 penyelam asing dan lima anggota penyelam elit SEAL Thailand akan cuba membawa remaja berusia 11 hingga 16 tahun yang tidak begitu cekap berenang menempuh laluan sempit dan ditenggelami air yang meragut nyawa seorang bekas penyelam tentera laut Thailand awal minggu ini.

“Hari ini adalah harinya. Kumpulan remaja itu sudah bersedia berdepan sebarang cabaran,” kata Ketua misi menyelamat, Narongsak, Osottanakorn kepada wartawan berhampiran gua.

Untuk menyelamatkan diri, kumpulan remaja itu perlu menyelam di laluan yang gelap, sempit dan kadangkala kurang daripada 0.6 meter lebar, cabaran utama yang ditempuh sebahagian penyelam gua terkemuka dunia yang terbabit dalam misi ini.

Katanya remaja pertama berkemungkinan akan muncul kira-kira 9 malam ini (waktu tempatan).

Bagaimanapun, tiada had masa yang ditetapkan kerana operasi menyelamat itu mungkin mengambil masa beberapa hari atau terpaksa dihentikan bila perlu.

Seorang doktor warga Australia yang juga sebahagian daripada pasukan penyelamat sudah memeriksa tahap kesihatan kumpulan remaja berkenaan malam tadi dan membenarkan operasi itu untuk diteruskan, kata Osottanakorn.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 2:05pm
d