global

Jepun arah 4 juta penduduk pindah

Oleh Reuters

LEBIH empat juta orang diberi arahan berpindah dari barat Jepun semalam selepas hujan luar biasa menyebabkan banjir dan tanah runtuh di barat negara itu dengan angka kematian meningkat kepada 66 orang manakala 1,000 lagi terkandas di bandar Kurashiki.

Daripada kalangan yang terkandas, 100 daripadanya berada di hospital manakala beribu-ribu anggota penyelamat dan anggota keselamatan terbabit dalam operasi keselamatan selepas air melimpah di beberapa sungai.

Kurashiki yang mempunyai hampir 500,000 penduduk adalah yang paling teruk dilanda hujan lebat dan hujan luar biasa, tiga kali ganda daripada biasa.

Rakaman televisyen menunjukkan orang ramai termasuk pesakit dan petugas perubatan menunggu untuk diselamatkan di sebuah anjung Hospital Memorial Mabi dengan banyak kereta terapung dalam air berlumpur manakala seorang penduduk diselamatkan dari sebuah rumah orang tua.

Banjir memaksa berjuta-juta orang keluar rumah mencari tempat perlindungan, kata Agensi Kebakaran dan Pengurusan Bencana.

Seramai 60 orang lagi hilang dengan hujan dijangka berterusan untuk sehari lagi yang dikhuatiri memerangkap lebih ramai orang kata stesen NHK.

Hujan kali ini menjadi punca tanah runtuh dan paras air sungai meningkat sekali gus memerangkap ramai orang sama ada di dalam atau di bumbung rumah.

“Kami tidak pernah alami hujan seperti ini. Tahapnya amat bahaya sekarang,” kata seorang pegawai di Agensi Meteorologi Jepun (JMA) kepada media.

Antara yang hilang ialah seorang budak lelaki berusia 9 tahun dalam rumahnya akibat tanah runtuh yang turut membunuh tiga lagi termasuk lelaki berusia 80-an.

Kerajaan Jepun membentuk pusat pengurusan kecemasan di Pejabat Perdana Menteri dengan 54,000 anggota tentera, polis dan jambatan bomba sudah dihantar ke tempat terbabit.

“Masih ada ramai yang hilang dan orang lain pula perlukan bantuan,” kata Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Amaran kecemasan kerana hujan luar Ular masih dikekalkan di tiga wilayah termasuk 300 mm (11 inci) yang diramalkan pagi ini (Isnin) di pulau Shikoku.

Hujan bermula lewat minggu lalu ketika tinggal saki baki puting beliung yang tiba dari lautan Pasifik. Jalan raya dan kereta api sudah ditutup.

Fakta nombor

* 1,000 terkandas di Kurashiki

* 66 terbunuh

* 54,000 askar, polis jadi penyelamat

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 6:37pm
d