global

Kajian dapati kopi kurangkan risiko cepat mati?

Oleh Agensi

New York: Tabiat minum kopi dikaitkan dengan kadar kematian lebih rendah dan satu kajian baharu mencadangkan kafien tidak menyumbang kepada umur lebih panjang.

Menurut laporan portal berita Singapura, TODAYonline, yang memetik laporan New York Times, kajian dijalankan terhadap data demografi dan kesihatan 498,134 penduduk British dengan usia purata 57 tahun.

Ia turut mempunyai maklumat mengenai tabiat minum kopi mereka dan pelbagai genetik yang mempengaruhi metabolisme kafien. Lebih tiga suku responden minum kopi.

Tinjauan susulan 10 tahun kemudian mendapati 14,255 daripada responden meninggal dunia.

Mereka mendapati risiko kematian akibat pelbagai sebab, terutamanya barah dan penyakit kardiovaskular mencatat penurunan sejajar dengan peningkatan pengambilan kopi.

Mereka yang minum secawan kopi sehari mempunyai enam peratus lebih rendah risiko.

Mereka yang minum lapan cawan atau lebih kopi sehari mengurangkan sehingga 14 peratus risiko mendapat penyakit.

Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Jama Internal Medicine dan disesuaikan mengikut usia, kaum, merokok, jantina, indeks berat badan (BMI) serta beberapa faktor kesihatan dan kelakuan lain.

Pengaruh semua jenis kopi kepada kesihatan didapati sama, sama ada kopi berkafien atau kopi tanpa kafien. Selain itu, kesan manfaat minum kopi juga tidak mengira faktor genetik atau jika seseorang mempunyai kadar metabolisme kafien lebih pantas.

Persoalannya, adakah kajian menerusi pemerhatian ini mencadangkan kita patut minum lebih banyak kopi? Jawapannya tidak, kata ketua penulis kajian merangkap felo National Cancer Institute, Dr Erikka Loftfield.

“Kajian hanya memberikan jaminan kepada peminum kopi, bukan panduan. Keputusan ujian tidak menunjukkan orang ramai patut mula minum kopi untuk manfaat kesihatannya,” kata Loftfield.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 10:22am
d